Monday, September 14, 2009

Qada' puasa,Cara Bayar Fidyah dan Kadar Cupak

Qada puasa adalah wajib ditunaikan terlebih dahulu sebelum datangnya bulan Ramadhan. Malah puasa sunat juga diharamkan untuk dikerjakan sebelum mengqada’ puasa yang tertinggal sebelumnya.

Sekiranya tidak berkesempatan, maka kita diwajibkan membayar fidyah. Fidyah bererti membayar denda berbentuk beras kepada fakir miskin.
Kadar fidyahnya mudah sahaja, iaitu sehari tinggal puasa bersamaan dengan fidyah secupak beras untuk tahun pertama. Tahun berikutnya digandakan mengikut tahun (lihat contoh mudah di hujung artikel ini).

Persoalan yang pertama, banyak mana sebenarnya ukuran secupak beras?
Secupak beras adalah bersamaan dengan 556 gram, iaitu lebih sedikit daripada setengah kilo, tetapi jauh lagi nak sampai satu kilo.Dalam hal ini, satu perkara perlu diberi perhatian, iaitu membayar lebih tidak mengapa, membayar kurang jangan sekali.

Persoalan yang kedua, kepada siapa seelok-eloknya kita perlu membayar fidyah?
Ada pendapat yang mengatakan bayar fidyah lebih afdal terus kepada fakir miskin, daripada melalui amil yang dilantik.Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa lebih afdal membayar fidyah melalui amil, kerana amil telah dilantik dengan cara tertentu oleh pihak berkuasa. Tambahan pula, bukan senang hendak mencari fakir miskin di kawasan tempat tinggal kita.
Bagaimana pun menurut Imam Shafie, ikut mana-mana pendapat yang dirasakan sesuai kecuali apabila ditentukan oleh mufti negeri masing-masing. Dalam hal ini mufti wajib diutamakan.
Ini kerana kedudukan mufti negeri adalah yang tertinggi selepas sultan. Mufti negeri merupakan suara kepada sultan dalam bab agama. Oleh sebab itu, wajib dituruti.

Sebab itu dalam Islam, mufti tidak perlu menjadi terkenal. Seorang mufti adalah seorang yang senyap, tidak banyak berkata-kata, bersembang, dan sebagainya yang boleh menjatuhkan kredibiliti seorang yang berdarjat tinggi.Kata seorang tokoh agama, seorang mufti tidak perlu ada blog, tidak perlu terlibat dalam politik, dan sebagainya seperti seorang hakim yang dilantik kerajaan.Begitu juga keadaannya dengan Qadhi, yang kita lihat di zaman sekarang lebih banyak berpolitik, bersosial dan sebagainya yang mana sepatutnya kedudukan Qadhi adalah setaraf dengan hakim tadi.Persoalan yang ketiga, berapakah nilai pendapatan yang boleh diklasifikasikan sebagai fakir miskin?

Nilai fakir sebenarnya boleh diukur begini. Ambil RM10 untuk buat pengukuran. Andaikan seseorang itu memerlukan RM10 sehari untuk perbelanjaan harian, termasuk diri sendiri dan tanggungan di bawahnya.Sekiranya pendapatannya sehari cuma RM3. Maka dia adalah seorang fakir. Sekiranya pendapatannya RM7, maka dia adalah seorang yang miskin.
Sekiranya pendapatannya RM10, maka dia seorang yang sederhana. Sekiranya pendapatannya RM12, maka dia seorang yang berada. Sekiranya pendapatannya RM18, maka dia seorang yang kaya.

Begitulah ukuran yang mudah digunakan. Di manakah kedudukan anda?
Katakan anda perlu bayar rumah, kereta, tanah ladang, aset sana sini, kad kredit, pinjaman peribadi, dan sebagainya, yang mana baki akhir gaji anda menunjukkan bahawa anda hanya boleh berbelanja sebanyak RM3 sahaja dalam sehari.Di mana kedudukan anda? Sudah pasti, anda bukan seorang fakir, kerana bukan nilai RM3 itu yang diambil kira, tetapi kesemua nilai yang menjadi hak anda seperti rumah, kereta, tanah ladang, dan aset.

Jika anda tidak cukup makan kerana bebanan ini, boleh jadi anda merupakan seorang yang boros atau tidak pandai merancang perbelanjaan. Nasihat saya, dapatkan seorang penasihat kewangan (kena bayar lagi).Persoalan yang keempat, selepas bayar fidyah, adakah saya bebas dari hutang puasa?Tidak, belum lagi. Puasa yang telah ditinggalkan itu tetap wajib diqada’ (diganti), dalam nisbah dan kadar yang sama, iaitu satu hari tertinggal bersamaan dengan satu hari qada’. Jumlah fidyah meningkat mengikut tahun, tetapi bilangan puasa tetap sama.Habis, kenapa perlu bayar fidyah kalau tak bebas hutang? Bayar fidyah adalah kerana lewat mengqada’. Sama seperti konsep kad kredit, lewat bayar kena denda, tapi hutang lama masih perlu diselesaikan.Persoalan yang kelima, apakah sebab selain lewat, yang mewajibkan kita wajib membayar fidyah?Ibu mengandung yang tidak berpuasa kerana bimbang zat makanan anak di dalam kandungan, serta ibu yang menyusukan anak yang tidak berpuasa kerana bimbang kekurangan susu di dalam badan.Keadaan ini berbeza dengan ibu mengandung yang menghadapi kesukaran atau risiko atau sebarang keuzuran syarie, di mana ibu itu hanya perlu mengqada’ sahaja tanpa perlu membayar fidyah.
Wallahu a’lam.
Contoh mudah (seperti yang dinyatakan di awal artikel):
Tinggal puasa 1 hari tahun lepas, bayar 1 cupak.
Tinggal puasa 2 hari tahun lepas, bayar 2 cupak.
Tinggal puasa 1 hari 2 tahun lepas, bayar 2 cupak.
Tinggal puasa 2 hari 2 tahun lepas, bayar 4 cupak.
Tinggal puasa 1 hari tahun lepas dan 1 hari 2 tahun lepas, bayar 3 cupak.
Tinggal puasa 2 hari tahun lepas dan 1 hari 2 tahun lepas, bayar 4 cupak.
Kesimpulannya, darabkan jumlah hari dengan jumlah tahun lalu (berasingan mengikut tahun) dan kemudian tambahkan kesemua tahun-tahun ini, maka dapatlah jumlah cupaknya.

Sumber :http://soleh.net